MERLIMAU, 11 Oktober- Inisiatif pelepasan khas cukai individu sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan pelancongan dan program kebudayaan yang diumumkan menerusi Belanjawan 2026 mendapat sambutan positif rakyat Melaka yang ditemui pemberita hari ini.
Seorang pesara kerajaan, Ibrahim Bujang berkata, inisiatif tersebut memberi galakan kepada rakyat untuk bercuti dalam negara sekali gus menyokong industri pelancongan tempatan.
"Terima kasih kerajaan atas pemberian pelepasan cukai ini kerana ia menyokong industri pelancongan dalam negeri dan menggalakkan rakyat melancong serta mempromosikan negara kita," katanya.
Seorang guru, Mohd Fauzan Othman pula berpendapat langkah tersebut dapat memperkembangkan sektor pelancongan tempatan dengan lebih pesat.
"Apabila ramai memilih untuk melancong dalam negara, mereka boleh menikmati pelepasan cukai dan pada masa sama menyumbang kepada ekonomi negara," katanya.
Seorang penjawat awam, Norhaidah Bukari berkata kemudahan itu turut membantu rakyat berjimat dan pada masa sama mempromosikan destinasi menarik dalam negara.
"Kalau bercuti dan boleh tuntut semula, ia sangat berbaloi kerana kita jimat dan dalam masa sama boleh kongsi tempat menarik di media sosial untuk promosi negara," katanya.
Penjawat awam, Nor Azlinawati Bukari pula menyifatkan inisiatif itu sebagai dorongan untuk memilih percutian dalam negara.
"Kalau bercuti dalam Malaysia dan boleh tuntut balik, itu lebih baik," katanya.