KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Belanjawan 2026 disifatkan isyarat jelas keupayaan kerajaan berbelanja besar demi rakyat.
Namun, pada masa sama bukti kebijaksanaan mengurus hutang negara secara berhemah dan bertanggungjawab.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, peruntukan meningkat kepada RM470 bilion satu pencapaian yang mencerminkan kemampuan fiskal kerajaan hasil pengurusan kewangan yang cekap.
Kemampuan itu turut didorong beberapa langkah strategik termasuk penyusunan semula subsidi secara bersasar serta tatakelola pentadbiran yang cekap dan telus.
"Di sebalik perbelanjaan yang meningkat kepada 470 billion tahun ini, tapi kita berjaya mengekalkan defisit kita kepada 3.5 peratus yang kita boleh simpulkan sebagai satu tindakan.
"Di mana kerajaan masih mampu berbelanja tapi berjaya mengawal hutang dengan baik kerana sebagai sebuah negara pertengahan yang ekonominya kita anggap sebagai membangun, keperluan untuk kerajaan berbelanja itu sangat penting dalam menentukan peningkatan ekonomi," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM di sini.
Dalam pada itu, langkah kerajaan meningkatkan jumlah keseluruhan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM15 bilion dilihat sebagai sebahagian komitmen kerajaan terhadap jaminan sosial yang lebih mampan dan inklusif.
"Saya melihat bila peningkatan ini berlaku mungkin ini akan menjana sedikit sebanyak perbelanjaan yang boleh memangkin ekonomi negara, kerana wang tunai yang ada ataupun bantuan yang diberi secara terus kepada mereka yang mendapat subsidi tu akan dibelanjakan kembali.
"Dan perbelanjaan itulah yang akan menggerakkan ekonomi dan seterusnya mencetuskan rantaian rantaian perkembangan di sepanjang perbelanjaan itu," katanya.