KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Seramai 500 penerima di Parlimen Bandar Tun Razak hari ini, menerima inisiatif Bakul Ihsan MADANI.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, penyerahan berkala itu bagi membantu golongan memerlukan dan mengurangkan bebanan.
"Pejabat Parlimen akan teruskan program seperti ini bagi membantu golongan yang memerlukan untuk kurangkan bebanan. sekurang-kurangnya,barang keperluan asas seperti beras, tepung, gula dan minyak dapat digunakan dan dapur mereka berasap semula," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menyampaikan inisiatif Bakul Ihsan MADANI di sini.
Selain bantuan barangan keperluan asas, kerajaan turut memperkenalkan beberapa inisiatif baharu menerusi Belanjawan 2026 yang diumumkan pada Jumaat.
"Kita dengar semalam dalam bajet, Perdana Menteri umumkan bantuan Sara Kedua RM100 kepada 22 juta rakyat menjelang Ramadan dan Tahun Baharu Cina.
"Ini hasil penjimatan kerajaan daripada penyasaran subsidi. Selain itu, pendidikan percuma bernilai RM120 juta turut disediakan untuk anak-anak keluarga berpendapatan bawah RM2,700," jelasnya lagi
Pelbagai peruntukan turut ditingkatkan bagi memastikan semua lapisan masyarakat tidak ketinggalan menikmati manfaat Belanjawan 2026.
Bagi Hanipah Sarif, 68, bantuan berkala yang diberikan mampu meringankan kos perbelanjaan seharian.
"Bukan kali pertama saya terima, dah dua tiga kali juga. Alhamdulillah kerajaan banyak bantu rakyat. Kita patut bersyukur dengan keprihatinan kerajaan hari ini," katanya.
Yusnita Harun, yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) merasakan bantuan yang diterima sangat membantu keluarga.
"Satu bahagian ini untuk abang saya sebab kakinya dipotong kerana penyakit kencing manis. Bantuan ini meringankan beban saya dan keluarga. Ia membantu dari segi perbelanjaan harian, terima kasih," katanya.
Program agihan Bakul Ihsan MADANI dijangka diteruskan dari semasa ke semasa Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak, bagi memastikan tiada keluarga yang tertinggal daripada mendapat bantuan asas.
Dengan inisiatif seumpama itu, keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat terus dizahirkan seiring matlamat Malaysia MADANI yang menekankan nilai kasih sayang, ihsan dan kebersamaan.