SHAH ALAM, 23 Julai- Tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dalam sektor ekonomi disasar meningkat 35% menjelang 2030.
Pada masa sama, 60% lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disasar memasuki aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kerajaan berhasrat untuk terus memperkasakan TVET dengan menambah baik ekosistem dan meningkatkan kualiti program melalui akreditasi, pengiktirafan serta pensijilan badan bertaraf antarabangsa.
Kerajaan juga akan memperkenalkan sistem penarafan institusi TVET
Ini selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 yang menekankan aspek pembangunan bakat berkemahiran tinggi khususnya melalui bidang TVET.
(Majlis Konvokesyen Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan2022 di Pusat
Konvensyen Shah Alam, di Shah Alam)
"Proses memperkasakan TVET memerlukan sinergi tenaga pengajar yang kompeten, berkualiti dan berwibawa untuk menjalankan tugas yang diamanahkan.
"Tenaga pengajar TVET memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan sistem latihan yang dilaksanakan. Mereka bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan kemahiran dan ilmu kepada pelajar, malah bertanggungjawab membentuk keperibadian pelajar," katanya ketika berucap di Majlis Konvokesyen Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) 2022 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini.
Seramai 1,797 graduan berjaya menamatkan pengajian peringkat Diploma Lanjutan Pengajar Vokasional, Diploma Pengajar Vokasional, Sijil Pengajar Vokasional dan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Tiga dengan Sijil Pengajar Vokasional dalam bidang Elektronik, Pengeluaran, Komputer, Automotif, Kimpalan dan Mekatronik bagi tahun 2020 dan 2021.