fb fb fb fb fb

27 penyelesaian teknologi bantu tangani isu sekuriti makanan, sedia dilaksana

KOTA TINGGI, 23 Julai- Sebanyak 27 daripada 46 penyelesaian teknologi untuk membantu menangani isu sekuriti makanan yang dikenal pasti Bilik Gerakan Penyelesaian Teknologi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sudah sedia digunakan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, antara penyelesaian diketengahkan ialah penggunaan automasi sistem fertigasi, pertanian menegak dan akuaponik yang diganding bersama aplikasi kecerdasan buatan.

Jelas beliau, penyelesaian tersebut terbahagi kepada beberapa kluster termasuk biji benih, biobaja dan baja penggalak, penggunaan dron dan robotik, perkhidmatan ujian dan aplikasi Internet kebendaan (IoT), akuakultur serta makanan ternakan.

Langkah tersebut katanya mampu merancakkan industri agropertanian dan memastikan kesinambungan industri agromakanan.

“Kluster yang MOSTI gerakkan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta kerajaan bagi memastikan sebahagian daripada tugasan kita ialah menggunakan teknologi terkini. 

Kita juga telah berkolaborasi dengan pembekal teknologi yang kini telah mewujudkan kesedaran bagaimana ia dapat digunakan secara langsung dan tidak langsung," katanya selepas merasmikan Program Bazar Komuniti Kejora & Kejora Santun Usahawan di Dewan Bandar Tenggara Kejora, di sini.

(Datuk Seri Dr. Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi)

Ahli Parlimen Tenggara itu juga berkata, usaha untuk membangunkan teknologi berkaitan tanaman akan terus diusahakan membabitkan pemain utama seperti pengusaha, pihak industri dan ahli akademik bagi membantu menangani isu-isu semasa negara dengan segera.

Bulan lepas, Dr Adham dilaporkan sebagai berkata sebanyak 46 penyelesaian teknologi telah dikenal pasti tersedia untuk membantu dalam menangani isu sekuriti makanan.

Menurutnya, MOSTI menawarkan senarai inventori teknologi di bawahnya yang boleh digunakan segera bagi tujuan itu; dan kepakaran lebih 800 saintis Akademi Sains Malaysia juga boleh dimanfaatkan dalam mengenal pasti serta memadankan kaedah penyelesaian terbaik berlandaskan teknologi.

Media Baharu