JOHOR BAHRU, 23 Julai- Kewujudan ayam bersaiz besar di pasaran ketika ini disebabkan bekalan ayam berlebihan, bukannya berpunca daripada tindakan penternak menyimpan stok ayam.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, isu tersebut tidak membimbangkan kerana masih terdapat bekalan ayam bersaiz biasa di pasaran.
"Bekalan kita mencukupi, stabil, bahkan berlebihan, ada penternak kita yang mempunyai ayam yang mencecah usia 34 hari, sudah cukup masa untuk dipasarkan.
Tetapi kerana bekalan mencukupi, penternak kita lambatkan jualan, apabila lambat dia banyak makan, dia jadi gemuk begitu juga ayam terlebih sihat dan terlebih makanan, kerana sampai 40-43 hari baru dijual jadi ayam gemuk tetapi tiada masalah," katanya selepas pelancaran Road to MAHA di sini.
(Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I)
Tambah beliau, kementeriannya turut mengadakan pertemuan bersama penternak, bagi memahami permasalahan dihadapi golongan berkenaan, terutama melibatkan peningkatan kos operasi.
Selain pengguna yang berdepan situasi kenaikan kos sara hidup, golongan penternak juga menghadapi peningkatan kos bahan mentah ketika ini.
Mengenai Road to MAHA pula, sebanyak 14 gerai dibuka sepanjang tiga hari penganjuran acara peringkat zon selatan itu, bertujuan mempromosikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang bakal berlangsung pada 4 hingga 14 Ogos nanti.
MAHA 2022 menyasarkan kehadiran kira-kira 1.1 juta pengunjung dengan jangkaan nilai jualan melebihi RM250 juta.