PERINGGIT, 27 Jun - Kerajaan negeri Melaka akan membuat penilaian menyeluruh serta mengambil kira beberapa faktor sebelum membuka ketiga-tiga pulau iaitu Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol yang telah diwartakan sebagai Taman Laut Negara kepada pelancong.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata pewartaan ketiga-tiga pulau itu sebagai Taman laut Negara dibuat pada 4 April lalu.
Katanya, ketiga-tiga pulau itu kini dilindungi di bawah Seksyen 41, Akta Perikanan 1985 (Akta 317).
"Ini adalah salah satu perkara yang memberi daya tarikan yang utama kepada pengunjung untuk datang ke negeri Melaka, bukan setakat berjalan sahaja tapi boleh datang untuk menyelam.
"Kalau hendak menyelam biasanya orang pergi ke Sabah atau Terengganu tapi untuk pantai barat ini kurang tempat jadi kita jemput datang dan merasai sendiri bagaimana keindahan Taman Laut di negeri Melaka," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Pelepasan Benih Ikan untuk Pertandingan Memancing Sempena TMM 2024 di Sungai Melaka di Empangan Sungai Batu Hampar, di sini.
Tambah Dr. Muhamad Akmal, pelancaran taman laut itu dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat dan lokasi berkenaan akan disenaraikan sebagai destinasi wajib dikunjungi pada Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) dengan pelbagai aktiviti dan program dirangka bagi menarik pelancong.