fb fb fb fb fb

Peniaga pasar malam hantar gambar lucah didenda RM10,000

(Md Azrin mengaku salah hantar komunikasi lucah)

AYER KEROH, 17 November - Mahkamah Sesyen Ayer Keroh mengenakan denda RM10,000 terhadap seorang peniaga pasar malam selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan menghantar komunikasi lucah kepada seorang kenalan wanita.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Md Azrin A Hamid, 44
tahun.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Md Azrin didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berunsur lucah berbentuk gambar kepada wanita tersebut menerusi aplikasi WhatsApp dengan niat untuk menyakitkan hati.

Dia melakukan perbuatan itu antara pukul 8.27 malam dan pukul 8.59 malam pada 25 Julai 2017 dan hantaran WhatsApp berkenaan kemudiannya dilihat pengadu pada 25 dan 26 Julai 2017, masing-masing pada pukul 8.30 malam dan pukul 1.38 tengah hari.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Nur Nazhzilah Mohammad Hashim memohon hukuman yang memberi menjadi pengajaran kerana perbuatan tertuduh adalah serius dan mengaibkan pengadu serta keluarga.

Md Azrin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum atas alasan hanya berniaga di pasar malam selain menanggung isteri serta kakak ipar yang kurang upaya.

 
(Md Azrin di perkarangan Mahkamah Ayer Keroh)

Media Baharu