IPOH, 3 Mei - Kerajaan bercadang untuk meminda beberapa undang-undang sedia ada bagi membendung penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata, walaupun penggubalan undang-undang berkaitan penyalahgunaan teknologi AI belum dirancang, Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI (AIGE) telah dijadikan rujukan bagi mengawal selia penggunaan teknologi tersebut.
Jelas beliau, pihaknya telah mengadakan konsultasi dengan semua pemain industri mengenai pelaksanaan AIGE dan pihak terbabit bersetuju untuk mematuhi garis panduan berkenaan.
"Semua negara sekarang ini tidak ada undang-undang AI kecuali parlimen EU, mereka sudah luluskan satu akta AI tetapi perlu melalui pelbagai proses untuk melaksanakannya.
Bagi Malaysia kita ambil pendekatan buat garis panduan dahulu kemudian barulah kita jadikannya sebagai undang-undang", katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perak Ignite Entrepreneur Summit 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Yuk Choy di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) Ahmad Sazilee Abdul Khairi yang dilaporkan berkata ‘scammer’ atau penipu mengambil kesempatan daripada perkembangan teknologi AI yang sangat drastik untuk mengaut keuntungan berlipat ganda dengan menggunakan pelbagai taktik terkini.