GUA MUSANG, 3 Mei - Malaysia dijangka meraih pelbagai manfaat menerusi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25).
Ini termasuk memperkukuh kerjasama dengan negara terlibat sepanjang lima hari penganjurannya mulai 20 Mei ini.
Jelas Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, kolaborasi dijalin menerusi pemeteraian pelbagai memorandum persefahaman (MoU).
Fokus, kepada aset-aset pertahanan meliputi darat, laut dan udara.
"Persiapan kita sudah 100%. Ketika ini, kita sedang melengkapkan aturan jemputan luar negara serta penglibatan industri dalam LIMA’25 agar pameran berjalan lancar.
"Kita ada banyak pertemuan-pertemuan melalui LIMA'25 yang boleh membawa kepada pemeteraian lebih banyak MoU terutama dalam kalangan negara ASEAN," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Veteran Desa MADANI di Masjid Jamek Tengku Muhammad Fa-iz Petra di sini hari ini.
LIMA'25 bertemakan “Kemajuan Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan”, memberi penekanan kepada inovasi dan peningkatan daya saing dalam kalangan pemain industri.
Ia sejajar perkembangan teknologi semasa.