Lebih 30 pemimpin desak Rusia setuju gencatan senjata tanpa syarat

Foto hiasan / AFP

BERLIN, 25 Februari – Lebih 30 pemimpin negara yang menyokong Ukraine mendesak Rusia supaya bersetuju melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat susulan genap empat tahun pencerobohan Moscow ke atas negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 30 pemimpin negara sokong Ukraine mendesak Rusia setuju gencatan senjata penuh tanpa syarat.
  • Rusia digesa sertai rundingan damai bermakna bagi capai gencatan senjata segera.
  • Para pemimpin kecam serangan Rusia terhadap bandar dan infrastruktur awam sebagai kejam.
  • Sokongan penuh berterusan diberikan kepada Ukraine untuk pertahankan kedaulatan dan kebebasan Eropah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Berlin selepas mesyuarat secara maya kumpulan berkenaan, Moscow digesa menyertai rundingan damai secara bermakna serta bersetuju melaksanakan gencatan senjata penuh tanpa sebarang syarat.

“Para pemimpin menyatakan kesan buruk yang harus dibayar oleh Rusia untuk meraih keuntungan minimum di medan perang dengan hampir setengah juta orang terkorban pada tahun lepas sahaja,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Britain Keir Starmer, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Canselor Jerman Friedrich Merz, antara yang menyertai mesyuarat secara maya tersebut bersama Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky.

Para pemimpin turut menyatakan sokongan penuh dan berterusan terhadap Ukraine dalam mempertahankan kedaulatan wilayahnya, di samping mempertahankan kebebasan Eropah.

“Mereka mengutuk serangan berterusan Rusia terhadap bandar serta infrastruktur awam Ukraine yang disifatkan sebagai kejam serta mengakibatkan krisis kemanusiaan yang serius sepanjang musim sejuk yang mencabar,” kata kenyataan itu.