KUALA LUMPUR, 3 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Anthony Albanese atas kejayaan mempertahankan jawatannya sebagai Perdana Menteri Australia pada penggal kedua selepas melalui kempen pilihan raya yang sengit pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar menyifatkan kemenangan yang diumumkan pada malam pilihan raya itu sebagai bukti keyakinan rakyat Australia terhadap kepimpinan Albanese.
“Keputusan yang diumumkan begitu cepat pada malam pilihan raya menunjukkan satu mandat yang jelas dan penuh keyakinan daripada rakyat Australia,” katanya.
Beliau turut mengiktiraf peranan penting Australia di rantau Asia Pasifik, khususnya komitmen pentadbiran Albanese terhadap Asia Tenggara pada penggal pertama pemerintahannya yang tidak terlepas daripada perhatian Malaysia.
"Di bawah pentadbiran Albanese, Australia memberi tumpuan kepada Asia Tenggara pada penggal pertama pemerintahannya, dan kami berharap semangat keterlibatan itu dapat diteruskan.
"Ketika rantau ini berdepan cabaran dan perubahan baharu, kita menantikan kerjasama erat untuk mempertahankan kestabilan, memperkukuh daya tahan, serta membentuk masa depan yang makmur bersama,” katanya.
Anthony Albanese memimpin Parti Buruh Australia sejak 2019 dan dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mei 2022.