TUMPAT, 4 September -Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengesan masih ada dalam kalangan peniaga yang cuba memanipulasi harga barangan lebih mahal berbanding tanda harga di negeri itu.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, kes tersebut dikesan berdasarkan aduan yang diterima termasuk daripada peniaga di premis tepi jalan.
Menurut beliau, ada antara peniaga akan mengambil kesempatan dengan meletakkan harga berbeza berdasarkan pemakaian pembeli ketika datang ke premis mereka.
"Kadang_kadang ada setengah-setengah peniaga ambil kesempatan dia tengok pakai comel pakai lawa dia letak harga lain. Dan dia tengok pakaian macam orang kampung sikit mungkin harga lain dia akan cuba manipulasi, Jadi untuk mengurangkan perkara itu kita pastikan mereka semua letak tanda harga setiap barangan setiap hari," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis Peluncuran Program Pasar Patuh (3P) di Pasar Sumayyah, di sini.
Katanya, Pasar Patuh merupakan inisiatif KPDN dalam memastikan para peniaga sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
Pasar Sumayyah terpilih sebagai Pasar Awam PATUH KPDN yang pertama bagi negeri Kelantan dan pihaknya akan memperluaskan lagi program tersebut ke pasar lain di negeri itu dari semasa ke semasa.
Mengulas lanjut Azman berkata, KPDN Kelantan telah mengeluarkan sebanyak 455 kompaun bernilai RM136,600 kepada premis di seluruh negeri itu atas pelbagai kesalahan bermula Januari hingga Ogos lepas.
Katanya, antara kesalahan yang dikeluarkan kompaun melibatkan isu tiada tanda harga, gagal meletakkan tanda harga dan tidak menggunakan alat timbang yang ditentusahkan.
Menurut beliau, bagi mengekang kesalahan tersebut, anggota penguatkuasa KPDN sentiasa membuat pemantauan termasuk penyamaran bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barangan keperluan sesuka hati.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan ketidakpatuhan peniaga supaya membuat aduan segera kepada pihak KPDN agar tindakan dapat diambil.