fb fb fb fb fb

CUEPACS mohon kerajaan naik taraf fasiliti kesihatan menjelang Belanjawan 2026

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr. Adnan Mat/BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 4 September- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon pihak kerajaan dapat memberi tumpuan terhadap penaiktarafan kemudahan fasiliti kesihatan, khususnya di kawasan klinik desa dan pedalaman menjelang Belanjawan 2026.
 
Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata hasil tinjauan dan lawatan pihaknya mendapati masih terdapat klinik-klinik kesihatan di luar bandar serta pedalaman berada dalam keadaan daif dari segi kualiti khidmat perubatan ditawarkan kepada komuniti kawasan berkenaan.

"Kami berharap dalam belanjawan akan datang, kerajaan dapat memberi perhatian terhadap penyediaan kemudahan yang sewajarnya khusus untuk rakyat.

Pada masa yang sama, kami sebagai petugas kesihatan juga berpeluang bekerja di klinik yang lebih selesa bagi membolehkan kami memberikan perkhidmatan terbaik selaras dengan kemudahan yang disediakan," kata Datuk Dr. Adnan Mat, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Makan Malam Apresiasi MADANI 2025 CUEPACS Terengganu Kali Ke-10, di sini.
 
Dalam pada itu, CUEPACS juga merayu kerajaan menyegerakan lantikan tetap kira-kira 2,000 jururawat masyarakat yang telah lulus Peningkatan Secara Lantikan (PSL).

“Keperluan terhadap jururawat pelatih ketika ini amat mendesak, namun pada masa yang sama janganlah diberikan alasan tertentu sekiranya mereka dilantik.

Tindakan menghantar mereka ke Sabah dan Sarawak seolah-olah menjadi satu bentuk tekanan, sedangkan kekosongan jawatan turut berlaku di tempat mereka bertugas sekarang," tambahnya.
 
Menurutnya, pekerja di sektor perubatan termasuk jururawat berdepan tekanan disebabkan bebanan tugas yang tinggi berikutan faktor kekurangan kakitangan di semua tempat fasiliti kesihatan.
 
Dalam pada itu, beliau turut meminta kerajaan mempertimbang pemberian bantuan khas kewangan atau bonus sebulan gaji kepada penjawat awam yang tidak pernah diberikan sejak 12 tahun lalu.

"Penjawat awam kini masih menanti-nantikan apakah bentuk bantuan kewangan atau bonus yang akan diumumkan kerajaan, sama ada dalam bentuk sebulan gaji ataupun dua bulan gaji.

Sudah lama tidak kedengaran pengumuman pembayaran berbentuk sebulan gaji, sebaliknya hanya bantuan bernilai RM500 yang sering diumumkan," jelasnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM