KUALA LUMPUR, 4 September -Sebanyak 6,416 kes dengan jumlah tangkapan 6,865 direkodkan sepanjang operasi penguatkuasaan sempadan Malaysia-Thailand dilaksanakan di sepanjang Sungai Golok, Kelantan bagi tempoh 2022 hingga 31 Julai 2025.
Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, operasi bersepadu dikenali Op Wawasan Kelantan itu turut mencatatkan nilai rampasan berjumlah lebih RM518 juta untuk tempoh sama.
"Kita juga menggunakan teknologi terkini berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) dan analitik data serta KDN juga sedang membangunkan sistem kawalan sempadan negara KSN yang dilengkapi dengan sistem pengawasan terkini berasaskan teknologi AI dan analitik data.
"Ia bagi membolehkan operasi dibuat tanpa pengawasan, penyebaran maklumat pantas dan secara masa sebenar serta pengawasan sepanjang masa secara berterusan dalam melindungi sempadan darat dan maritim malaysia demi keamanan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff mengenai langkah kementerian dalam meningkatkan keselamatan sempadan Kelantan-Thailand khususnya di sepanjang Sungai Golok, di Dewan Negara.
Tambah beliau, KDN melalui Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia dalam proses kelulusan perolehan aset-aset berteknologi tinggi seperti dron, radar dan sebagainya.
Turut digerakkan pemantauan kerjasama serantau dengan negara lain melalui Majlis Keselamatan Negara melalui pelbagai platform seperti jawatankuasa peringkat tertinggi, jawatankuasa persempadanan serantau dan 'border management working group'.