TANJUNG MALIM, 4 September- Kerjasama antara Malaysia dan China dalam pertukaran teknologi automotif membuka peluang kepada tenaga kerja tempatan untuk menceburi bidang automotif dengan kemahiran lebih tinggi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, China bersedia memindahkan teknologi serta mewujudkan pusat kecemerlangan bagi melahirkan jurutera tempatan yang berkemahiran tinggi.
"Kesediaan China untuk bekerjasama terbukti melalui pertemuan saya dengan Perdana Menteri China Li Qiang baru-baru ini termasuk dalam aspek pemindahan teknologi dan peluang pelaburan yang memberi manfaat kepada anak tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pelancaran Kilang Kenderaan Elektrik (EV) di Bandar Proton, Tanjung Malim, Perak, hari ini.
Perdana Menteri menambah, pendekatan pemindahan teknologi ini sejajar dengan dasar negara untuk menjadi peneraju dalam industri automotif serantau, khususnya kenderaan elektrik, selain membanggakan pencapaian Proton di Mesir yang kini menjadi pilihan utama rakyat kelas pertengahan di negara itu.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata Pusat Pelaburan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di sini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kementerian berkaitan bagi membangunkannya sebagai hab rantaian bekalan dan menarik lebih banyak syarikat automotif.
Beliau berkata, AHTV juga dilihat sebagai langkah pelaburan masa depan yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
"Saya beritahu Ketua Pegawai Geely, Li Shufu, bahawa kita akan menggunakan peluang ini bukan sahaja untuk menghasilkan kenderaan Geely, tetapi juga sebagai pusat penyelidikan, latihan, dan pendidikan, termasuk cadangan awal bagi pembinaan pusat pendidikan dan universiti, dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi pendidikan," katanya.
Beliau menambah, Geely turut dipelawa meningkatkan pelaburan di AHTV bagi menjadikannya pusat kecemerlangan dalam melatih tenaga kerja mahir tempatan.