PARLIMEN, 4 September- Aktiviti kawalan makanan ke atas sayuran import di pintu masuk negara dipertingkat, bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan bebas daripada pencemaran berbahaya.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, sayuran import yang tidak mematuhi paras maksimum residu racun perosak seperti yang ditetapkan bawah Peraturan 41(3), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 akan dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Ini termasuk arahan penarikan balik produk di seluruh negara, pelupusan, penghantaran semula serta pendakwaan di mahkamah.
''Tindakan tahan uji lepas akan dikenakan terhadap kemasukan konsainan seterusnya, manakala larangan import juga boleh dikuatkuasakan berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Pelanggaran paras maksimum residu racun perosak di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 merupakan satu kesalahan yang tidak boleh dikompaun.
Berdasarkan data kumulatif dari tahun 2022 hingga 2024, sebanyak 2.38 peratus pelanggaran residu racun perosak direkodkan bagi sayuran import," kata Datuk Lukanisman di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Puan Tiew Way Keng berhubung langkah-langkah kerajaan dalam menjamin kualiti sayur-sayuran yang diimport.
Tambah beliau, sebagai langkah tambahan, sejak 3 Februari 2022, cili segar import dari Vietnam yang tidak disertakan dengan Sijil Analisis (Certificate of Analysis, COA) daripada makmal yang diluluskan akan ditolak kemasukannya.
Penyelarasan kawalan itu turut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pertanian Malaysia di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).