IPOH, 4 September- Pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara secara “one-off” memberi kelegaan kepada pesara dan golongan tidak bekerja terutama suri rumah.
Tinjauan RTM sekitar Ipoh hari ini mendapati ramai penerima menggunakan kredit tersebut untuk membeli barangan keperluan asas.
Mohd Haziry Abu Bakar, seorang pesara, berkata, "RM100 itu cukup untuk beli beras, minyak dan tepung. Dengan bantuan ini, bajet bulanan kami ada sedikit lebih, insya-Allah membantu."
Suri rumah, Jamilah Ramli pula berkongsi, "Sekurang-kurangnya, kami tak banyak perlu keluar duit untuk beli barang. Alhamdulillah, ia benar-benar membantu. Kalau inisiatif ini diteruskan, ia pasti banyak membantu kami kerana harga barang sekarang mahal."
Che Yah Che Meh, suri rumah lain, menambah, "Kalau program ini diteruskan dan jumlah bantuan dinaikkan sedikit, lagi bagus kerana ia boleh membantu orang-orang berumur yang tidak bekerja."
Sehingga hari keempat pelaksanaan, sebanyak RM117.1 juta jualan dicatatkan melibatkan 1.8 juta penerima.
Kredit RM100 kekal sah sehingga 31 Disember 2025 dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar seluruh negara.