LANGKAWI, 4 September - ASEAN membuka lembaran baharu bersama Kesatuan Eropah (EU) dalam menangani perubahan iklim demi kelestarian alam sekitar global.
Meskipun berada pada rantau berbeza, namun masing-masing menghadapi cabaran alam sekitar selain mempunyai aspirasi yang sama dalam melestarikan alam sekitar dan pembangunan mampan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, cabaran seperti pencemaran laut, kehilangan biodiversiti dan daya tahan iklim hanya boleh diatasi dengan usaha bersama merentas sempadan.
"Dialog ini menjadi peluang penting untuk membina kerangka kerjasama kukuh ASEAN-EU, berkongsi idea dan amalan terbaik, menangani isu pencemaran plastik, biodiversiti dan perubahan iklim selain mengukuhkan pembinaan kapasiti serta pemindahan teknologi", katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Dialog Menteri ASEAN-EU mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang julung kali diadakan di sini, hari ini
Dialog merupakan program sampingan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ke-18 iaitu EU–ASEAN: Memajukan Perlindungan Biodiversiti dan Penetapan Harga Karbon Untuk Masa Depan Mampan.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Eropah untuk Ketahanan Air, Persekitaran dan Ekonomi, Jessika Roswall, berkata kerjasama dengan ASEAN dalam isu alam sekitar dan perubahan iklim kini semakin penting terutama dalam menghadapi cabaran geopolitik global yang semakin kompleks.
Melalui pelan kerja ASEAN-EU 2025-2026 yang baharu, ia berupaya meningkatkan kerjasama mengenai biodiversiti, daya tahan dan ekonomi pekeliling.