KUALA LUMPUR, 4 September- Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sedang melaksanakan inisiatif bagi menggalakkan penyertaan masyarakat belia Orang Asli dalam skim Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa menjelaskan langkah berkenaan diambil susulan laporan data yang menunjukkan penglibatan golongan itu masih kurang daripada 0.1 peratus.
Jelasnya, pelantikan PTD melibatkan semua kaum warganegara Malaysia dengan peluang yang sama untuk dipertimbangkan manakala proses pemilihan dibuat secara telus dan adil tanpa mengira latar belakang.
"Bagi tahun 2025, seramai 165 orang PTD dilantik terdiri daripada 139 calon Melayu, enam calon Cina, empat calon India, sembilan calon Bumiputera Sabah, dua calon Bumiputera Sarawak serta lima calon lain-lain kaum.
Setakat ini, bagi tahun 2024 dan 2025, penglibatan calon Orang Asli masih kurang daripada 0.1 peratus. Sehubungan itu, SPA sedang melaksanakan inisiatif bagi menggalakkan penyertaan belia Orang Asli dalam perkhidmatan PTD," kata Datuk Seri Dr. Zaliha di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Profesor Emeritus Dr Mohammad Redzuan Othman, berhubung komposisi kaum dalam pelantikan PTD.