fb fb fb fb fb

ELMU - MPI jalin kerjasama perkasa pelaporan berita jenayah

Naib Canselor ELMU, Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed (dua dari kiri) dan Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong (dua dari kanan) pada Majlis MoU di Kampus ELMU, Bandar Enstek

SEREMBAN, 4 September – Kerjasama strategik antara Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) dan Malaysian Press Institute (MPI) bakal membuka era baharu dalam dunia kewartawanan jenayah menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani.

Melalui Kerjasama itu, kedua-dua pihak berhasrat memperkasakan wartawan dan pengarang melalui latihan, bengkel serta pertandingan yang akan menguji ketajaman minda serta keupayaan menyampaikan naratif jenayah secara lebih berkesan dan beretika.

Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong berkata, MoU ini bukan sahaja menjalin hubungan lebih erat antara media dan agensi penguatkuasaan, malah mampu menjadikan laporan jenayah sebagai alat mendidik dan membina kepercayaan masyarakat.

“MoU ini adalah permulaan kepada gerakan baharu.  Pelaporan jenayah tidak lagi bersifat sensasi semata-mata, tetapi menjadi sumber pencerahan berdasarkan fakta. Kita mahu media dan agensi penguat kuasa seiring dalam menyampaikan kebenaran demi kepentingan negara,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU itu di Kampus ELMU, Bandar Enstek.

Datuk Yong turut menegaskan bahawa dalam era maklumat yang sering dimanipulasi, kerjasama ini menjadi satu bentuk intervensi sivik bagi meningkatkan piawaian kewartawanan dan membina rasa saling hormat-menghormati antara media dengan pihak berkuasa.

Sementara itu, Naib Canselor ELMU, Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed berkata MoU ini turut membuka laluan kepada penganjuran Anugerah Media Jenayah ELMU, yang bakal menjadi pengiktirafan pertama seumpamanya kepada wartawan jenayah di Malaysia.

“Anugerah ini bukan sekadar penghormatan kepada mutu kerja wartawan, tetapi sebagai penanda aras baharu untuk pelaporan jenayah yang adil, seimbang dan berani menyampaikan kebenaran,” katanya.

Beliau menekankan bahawa pelaporan jenayah yang bertanggungjawab berperanan besar dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap isu keadilan, keselamatan dan kesejahteraan sosial. Namun begitu, ia memerlukan kepekaan, ketelitian dan komitmen tinggi terhadap prinsip etika kewartawanan.

Tambah beliau, kerjasama antara ELMU dan MPI menyatukan kekuatan akademik dan praktikal bagi melahirkan wartawan yang beretika, berintegriti dan mempunyai tanggungjawab sosial melalui program latihan dan pendidikan yang terancang.

“Pemeteraian MoU ini bukan hanya simbolik, tetapi satu komitmen nyata untuk membina landskap media yang lebih beretika dan berimpak. Ia bakal menjadi platform untuk latihan, penyelidikan dan dialog ke arah meningkatkan profesionalisme dalam pelaporan berita jenayah di negara ini,” ujarnya lagi.

MAT YUNUS BIN SABRI