fb fb fb fb fb

Pengusaha premis di Labuan terima sambutan baik Menu Rahmah

LABUAN, 13 Februari - Perlaksanaan Menu Rahmah di bawah program Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Labuan menerima sambutan baik daripada pengusaha premis makanan di sekitar Labuan.

Pengarahnya, Junaidah Arbain berkata, setakat ini sebanyak 15 premis telah setuju dan mula menawarkan menu tersebut di premis masing-masing.


(Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan, Junaidah Arbain)

Beliau berkata, terdahulu pihaknya telah mengadakan sesi libat urus bersama semua pengusaha premis makanan dan susulan daripada perjumpaan itu pihak KPDN mendapat maklum balas yang positif dan sudi menyahut seruan kerajaan.

"Dari segi juadah yang akan ditawarkan pihak KPDN mengesyorkan juadah itu adalah yang kita boleh panggil juadah yang seimbang ataupun juadah sihat ia merangkumi nasi, sayur dan juga satu lauk sama ada ikan atau pun ayam.

"Walau bagaimanapun ia bergantung juga kepada restoran itu sendiri untuk menawarkan apa jua jenis juadah menu kita terima," katanya di sini.

Sementara itu, pengusaha premis menyokong seruan kerajaan sekali gus membantu golongan kurang berkemampuan yang disasarkan.

"Saya bagi pihak restoran sangat menyokong seruan kerajaan. Program ini merupakan inisiatif kerajaan yang boleh membantu golongan sasaran yang tidak berkemampuan, dan akan dapat membantu untuk meringankan beban mereka. Saya harap ini akan berterusanlah," kata Pengusaha premis restoran makanan, Rusnah Saban.

"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kerana adanya program menu rahmah ini kerana dia benar-benar membantu golongan macam kami.

"Macam saya, kita tahu sekarang harga makanan semakin meningkat jadi dengan adanya menu rahman ini semua golongan yang tidak berkemampuan atau pun bukan bekerja tetap mampu untuk makan di kedai makan," kata Pelanggan restoran, Clarissa Lilia Janim.

Media Baharu