fb fb fb fb fb

Pengusaha bas mahu terlibat dengan libat urus SOP susulan pembukaan sempadan 1 April ini

ISKANDAR PUTERI, 23 Mac- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) disaran mengadakan libat urus bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan pembukaan sempadan negara, 1 April ini bagi memudahkan pemain industri menyelaras harga pakej pelancongan.

Ia susulan terdapat banyak syarikat pelancongan mengiklankan pakej-pakej pelancongan ke Thailand dengan harga biasa tanpa mengetahui sebarang kos tambahan.

Pengerusi Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM), R Thiagarajan berkata pengembara daripada Malaysia ke Thailand mungkin perlu membelanjakan RM500 bagi protokol COVID-19, melibatkan kos penginapan hotel, ujian calitan dan insuran COVID-19.

Beliau juga menyeru kerajaan menyalurkan maklumat terperinci berkenaan pembukaan sempadan bagi membolehkan syarikat pelancongan dan bas mengatur gerak kerja.

"Apabila kita tiada maklumat yang betul dan menjual pakej seperti biasa, adakah bila dah sampai situ, kita meminta bayaran tambahan untuk ini? Oleh itu, perkara ini akan menyukarkan proses perjalanan dan juga keyakinan pelancong dari negara kita ke situ," kata R Thiagarajan dalam satu sidang media di sini.

Maklumat berkenaan proses memohon permit kemasukan kenderaan juga perlu diberi pencerahan bagi memudahkan pengusaha bas memasuki Singapura.


(Pengerusi Sekretariat Gabungan Bas Malaysia, R Thiagarajan (tiga dari kiri) dalam sidang media menjelaskan perkara tersebut)

Dalam perkembangan lain, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) diminta membenarkan pengusaha bas sekolah menjalankan pengiklanan di bas masing-masing bagi menambah pendapatan mereka.

Peluang tersebut secara tidak langsung dapat memastikan kelangsungan perniagaan mereka yang semakin terjejas pada masa kini.

Pengerusi Sekretariat Gabungan Bas Malaysia, R Thiagarajan berkata kebenaran tersebut membolehkan pengusaha bas sekolah menjana pendapatan sehingga RM8,000 sebulan.

Beberapa syarikat juga telah bersedia mengiklankan produk mereka di bas-bas sekolah.

"Pendapatan pengusaha bas sekolah ini kadang-kadang tak sampai RM2,000 atau RM3,000 satu bulan. Maka, kalau ada kebenaran ini, mereka mampu untuk meneruskan kelangsungan hidup tanpa mengharapkan sebarang bantuan daripada kerajaan," tambah R Thiagarajan dalam sidang media sama.

Pengiklanan di bas sekolah juga dilihat lebih efektif, kerana mendapat pendedahan di kawasan-kawasan perumahan dan pedalaman.

Menurutnya, pengiklanan hanya dibenarkan terhadap bas ekspress dan bas henti-henti.

Beliau turut memaklumkan hampir 300 pengusaha bas di Johor terutama bas sekolah dan persiaran, tidak dapat meneruskan operasi kerana terjejas akibat pandemik serta dibelenggu hutang kredit.

Media Baharu