KUALA LUMPUR, 23 Mac - Menyedari bekalan darah jenis O dan A semakin berkurangan, RTM menerusi stesen radio Traxxfm menganjurkan program derma Darah "Traxxfm Blood Drive 2022" bagi meningkatkan bekalan darah berkenaan.
Program selama dua hari hingga esok, membabitkan kerjasama Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM).
Ia dibuka khusus untuk warga kerja RTM.
"Jadi objektifnya adalah sama setiap tahun untuk menunjukkan rasa prihatin Traxxfm dan juga warga kerja RTM menangani masalah bekalan darah yang sememangnya kritikal sekarang.
"Ia juga sekali gus untuk membantu pesakit dalam kalangan Keluarga Malaysia yang memang memerlukan bekalan darah ini," kata Pengurus Traxxfm, Noorliza Nordin.
(Noorliza Nordin)
Sementara itu, Timbalan Pengarah Klinikal (Perubatan) PPUM, Dr Mohd Salleh Yahya berharap kerjasama ini akan dapat diteruskan lagi pada masa depan.
"Banyak harapan saya pada Traxxfm dan juga RTM khususnya untuk terus berkolaborasi dengan PPUM meneruskan kempen derma darah ini," jelasnya.
(Dr Mohd Salleh Yahya)
Pandemik COVID-19 dilapor mengakibat bekalan darah dalam negara berkurang disebabkan kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan mereka ketika proses menderma darah.