KUALA LUMPUR, 2 September – Kementerian Komunikasi akan memanggil pihak pengurusan tertinggi TikTok ke Bukit Aman Khamis ini bagi membincangkan isu kelewatan platform itu memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam beberapa kes jenayah siber dan penyebaran berita palsu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata kelewatan itu jelas dalam kes melibatkan seorang “doktor palsu” baru-baru ini sehingga beliau sendiri terpaksa menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew, bagi meminta syarikat berkenaan segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
“Sikap sebegini tidak boleh dibiarkan berterusan. Insya-Allah esok akan ada pertemuan bersama pihak pengurusan TikTok di Bukit Aman. Kita juga akan memanggil syarikat lain termasuk Meta, kerana banyak isu membabitkan pedofilia, geng sekolah dan lain-lain turut tersebar melalui platform mereka,” katanya pada sidang media selepas Persidangan AI Grand Prix 2025.
Beliau turut memaklumkan, selepas TikTok, penyedia platform media sosial lain juga akan dipanggil dalam sesi pertemuan dengan pihak berkuasa bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang negara serta bertanggungjawab dalam menangani isu penyebaran kandungan berunsur jenayah di platform masing-masing.