fb fb fb fb fb

Penubuhan IINTAS perkukuh peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (kiri) ketika pelancaran Buku “Education of the Interior: Essays In Honour of Professor Syed Ali Ashraf” pada Majlis Pelancaran Institute of Internationalization and Asean Studies (INTAS) di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) UIAM Kampus Kuala Lumpur hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 September - Penubuhan Institut Kajian Antarabangsa dan ASEAN (IINTAS) diumumkan hari ini sebagai langkah strategik untuk memperkukuh peranan Malaysia di peringkat serantau, khususnya dalam menyokong tanggungjawab negara selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis, IINTAS akan berperanan menghasilkan penyelidikan berkredibiliti, idea dasar yang bernas dan pandangan strategik yang mampu menyumbang kepada kestabilan serta kemajuan rantau ASEAN.

Beliau menegaskan, sebagai Pengerusi, Malaysia perlu menunjukkan kepimpinan yang berwibawa dalam mendepani cabaran serantau.

Teks ucapan Datuk Seri Anwar disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

“Kita mesti memikul tanggungjawab dengan visi, kepimpinan, dan kredibiliti. Kita hidup dalam zaman penuh ketidaktentuan. ASEAN, yang lama dihormati sebagai zon keamanan dan kerjasama, kini menghadapi cabaran serius. Kita komited untuk berdialog, kepada keamanan, dan untuk memelihara semangat kerjasama ASEAN."

"Malaysia mesti terus menjadi wadah untuk dialog dan kerjasama. Kestabilan dalaman dan kredibiliti antarabangsa kita meletakkan negara dalam posisi yang sesuai untuk menjadi penganjur.

"Namun, kita tidak boleh bergantung kepada diplomasi semata-mata. Kita memerlukan institusi yang berfikir, menulis dan bertindak," ujar Datuk Seri Dr. Zambry, ketika membacakan teks ucapan Perdana Menteri.

Majlis sama turut menyaksikan pelancaran buku Education of the Interior: Essays in Honour of Syed Ali Ashraf, sebagai penghargaan terhadap sumbangan besar Allahyarham Profesor Syed Ali Ashraf dalam memperbaharui landskap pendidikan Islam di peringkat antarabangsa.

Buku tersebut disunting oleh Ketua Pengarah Akademi Islam di Cambridge, England, Profesor Shaikh Abdul Mabud, manakala bahagian afterword ditulis sendiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Karya berkenaan menghimpunkan koleksi esei yang mencerminkan kedalaman intelektual dan nilai etika Allahyarham dalam perjuangannya memperbaharui pendidikan berteraskan wahyu dan nilai.

"Buku ini merupakan sumbangan yang tepat pada masanya. Ia mengandungi koleksi esei yang mencerminkan legasinya. Karyanya telah membentuk institusi dan memberi inspirasi kepada generasi-generasi.

"Pesanannya kekal sebagai pegangan bagi mereka yang berjuang untuk menegakkan maruah, keadilan, dan integriti dalam bidang pendidikan" ujar Datuk Seri Dr. Zambry membacakan teks ucapan Perdana Menteri.

Majlis tersebut diadakan bersempena dengan Seminar Antarabangsa mengenai Masa Depan ASEAN: Mengemudi Regionalisme, Rekonsiliasi dan Pendekatan Semula, yang berlangsung di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC-IIUM), di ibu negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE