fb fb fb fb fb

Jelajah Kayuhan Beca Merdeka 2025 wajar catat rekod MBOR

FOTO RTM

MELAKA, 2 September - Jelajah Kayuhan Beca Merdeka 2025 anjuran Persatuan Beca Pesona Melaka wajar diberi pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pencapaian bersejarah negara.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, berkata kayuhan yang berlangsung dari 1 Julai hingga 30 Ogos lalu itu mencerminkan semangat patriotisme yang perlu disemai dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, seramai lima peserta telah mengayuh dua buah beca bermula di Menara Taming Sari dan menamatkan misi di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir.

“Kita akan semak dengan MBOR sama ada usaha ini dapat dimasukkan dalam catatan mereka. Saya rasa ini kali pertama sejarah tercipta apabila penarik beca berjaya menjelajah ke seluruh negeri di Semenanjung Malaysia. Usaha ini wajar dimasukkan dalam Malaysia Book of Records,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Beca Pesona Melaka, Rosli Md Zin berkata, pencapaian itu merupakan yang pertama seumpamanya di dunia dengan jarak kayuhan sejauh 2,500 kilometer dalam tempoh 62 hari.

“Tak pernah lagi orang lakukan di dunia, kayuh beca sejauh ini dalam tempoh lapan minggu lima hari. Ia bukti semangat dan daya tahan penarik beca tempatan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, misi kayuhan beca akan diteruskan lagi dalam tempoh dua tahun akan datang sebagai kesinambungan semangat perjuangan tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE