fb fb fb fb fb

Peruncit e-dagang terbesar China mahu meluaskan perniagaan di Malaysia

Datuk Seri Anwar mengadakan pertemuan bersama pengurusan tertinggi JD.com di Beijing/ foto Bernama

BEIJING, 2 September - Peruncit e-dagang terbesar China, JD.com berhasrat mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia selain bersedia membeli lebih banyak produk tempatan untuk dipasarkan di China.

Perkembangan itu dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengadakan pertemuan bersama pengurusan tertinggi JD.com yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif JD Logistics merangkap Ahli Eksekutif Strategi, Hu Wei.

Hasrat tersebut disambut baik Perdana Menteri dengan mengambil kira kedudukan strategik Malaysia yang berpotensi menjadi hab logistik serantau, sekali gus dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

Turut diadakan pertemuan dengan barisan pimpinan Persatuan Industri Semikonduktor China (CSIA) yang menaungi lebih 1,400 syarikat semikonduktor China.

Dalam pertemuan itu, Datuk Seri Anwar menegaskan iltizam Malaysia untuk menjadi pemain utama semikonduktor global, seperti yang digariskan dalam Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

Mesyuarat perniagaan berkenaan turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Perdana Menteri ketika ini berada di Beijing sempena lawatan kerja rasmi selama empat hari.

JALALUDDIN BIN BAHARIN