fb fb fb fb fb

Malaysia perkukuh tekanan diplomatik realisasi misi bantuan ke Gaza

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari

KUALA LUMPUR, 2 September – Kerajaan akan terus memperkukuh tekanan diplomatik serta membina konsensus antarabangsa bagi merealisasikan penghantaran pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke Palestin, khususnya di Gaza.

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari langkah itu dilaksana menerusi kenyataan rasmi, sokongan terhadap resolusi berkaitan serta kerjasama rapat dengan negara-negara sehaluan secara konsisten bagi menghentikan genosid yang sedang berlaku.

Ini sekali gus termasuk menerusi lima inisiatif baharu yang dikemukakan Malaysia pada  Menteri Pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) 2025 termasuk komitmen baharu menyiapkan satu batalion infantri.

“Inisiatif mendaftar sebuah batalion infantri untuk diatur gerak sebagai pasukan pengaman dalam Sistem Kesiapsiagaan Keupayaan Pengaman(PCRS) bertujuan memperlihatkan kesiapsiagaan anggota Malaysia.

"Sekiranya mandat baharu diluluskan Majlis Keselamatan PBB, khususnya berkaitan Gaza, pendaftaran dalam PCRS akan memberi kelebihan kepada Malaysia untuk dipilih menyertai misi pengaman tersebut," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui usaha itu berdepan cabaran kuasa veto Majlis Keselamatan PBB serta risiko keselamatan anggota di kawasan konflik.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Tuan Haji Hussin Ismail di Dewan Negara berhubung usaha dan cabaran kerajaan dalam mendesak penghantaran Pasukan Pengaman PBB ke Palestin.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE