KUALA LUMPUR, 2 September – Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa apabila lima universiti penyelidikan negara tersenarai dalam kelompok 200 terbaik dunia, menurut QS World University Rankings 2026.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, Universiti Malaya (UM) kini berada di kedudukan ke-58 dunia, naik daripada tangga ke-60 pada tahun sebelumnya.
Turut mencatat peningkatan ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
“Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah hab pendidikan tinggi antarabangsa yang disegani, dengan perkembangan ketara dalam penarafan global. Berdasarkan QS World University Rankings 2026, Universiti Malaya (UM) mencatat peningkatan ke kedudukan ke-58 dunia, naik daripada kedudukan ke-60 dalam ranking 2025,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan di Dewan Negara hari ini.
Selain universiti awam, beberapa institusi swasta turut mencatat pencapaian membanggakan. Sunway University berjaya menembusi kelompok 500 terbaik dunia, manakala Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Taylor’s University dan UCSI University mengekalkan kedudukan dalam kelompok 300 terbaik.
Menurut beliau, pencapaian tersebut membuktikan peningkatan konsisten dari segi reputasi akademik, kualiti penyelidikan dan kebolehpasaran graduan, sekali gus menjadikan Malaysia destinasi pilihan utama pelajar serta penyelidik antarabangsa.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi menegaskan kemasukan pelajar antarabangsa tidak menjejaskan peluang pelajar tempatan melanjutkan pengajian di universiti awam.
Datuk Seri Dr. Zambry berkata, kadar kemasukan pelajar tempatan di peringkat prasiswazah kekal tinggi, iaitu melebihi 97 peratus daripada keseluruhan enrolmen.
“Jumlah pengambilan pelajar prasiswazah universiti awam ialah 511,000 orang, dengan 497,020 daripadanya atau 97.3 peratus adalah warganegara Malaysia. Pelajar antarabangsa hanya 13,986 orang atau sekitar 2.7 peratus sahaja. Jadi tuduhan kononnya pelajar tempatan dinafikan hak adalah tidak benar,” jelasnya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mustafa Musa.
Tegas beliau, pengambilan pelajar antarabangsa adalah sebahagian daripada strategi pengantarabangsaan bagi memperkukuh kedudukan universiti tempatan di peringkat global.