fb fb fb fb fb

Pengumuman PM, penghargaan buat penjawat awam - Cuepacs

PUTRAJAYA, 30 Ogos - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 merupakan satu penghargaan buat penjawat awam.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata berita gembira itu juga sekali gus memberi kelegaan kepada penjawat awam yang turut terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

Menurut beliau, meskipun tidak semua tuntutan dan cadangan Cuepacs dipenuhi namun kerajaan tetap menunaikannya.

(Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat)

"Bagi kami walaupun sembilan perkara kami bentang kepada kerajaan, tidak semua kerajaan ikut, kami juga beritahu jangan tinggalkan semuanya, jadi maknanya kerajaan tidak tinggalkan sesiapa dan kerajaan tunaikan apa yang kami minta kepada penjawat awam," Katanya ketika ditemui selepas majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Datuk Adnan turut menyambut baik komitmen kerajaan untuk menyegerakan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan merangkumi saraan dan perkhidmatan.

"Tiada tempoh masa ditetapkan namun bergantung kepada kedudukan kewangan negara. Sistem saraan ini diperkenalkan setiap 10 tahun dan Cuepacs mahukan ia diwujudkan tahun ini," katanya.

Media Baharu