fb fb fb fb fb

Pendapatan negara dijangka bertambah RM4.3 bilion menerusi Suresawit

PUCHONG, 30 Ogos - Pendapatan negara dijangka bertambah sebanyak RM4.3 bilion setiap tahun hasil industri sawit untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Zuraida Kamarudin optimis sasaran tersebut mampu dicapai selepas industri sawit memulakan Perkhidmatan Ujian Benih Sawit Suresawit berasaskan teknologi gen Shell yang canggih.

Jelasnya, penggunaan teknologi canggih yang bakal menggunakan benih sawit berkualiti mampu meningkatkan produktiviti hasil minyak sehingga 60 peratus.

(Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Zuraida Kamaruddin)

"Dengan adanya ciptaan ini ianya akan dapat meningkatkan produktiviti buah sawit itu sendiri. Buah sawit itu akan memberikan minyak yang berkualiti tinggi.

"Bila berkualiti tinggi, maknanya boleh dapat harga yang lebih baik dan ia juga akan menghasilkan kualiti yang baik dan juga kuantiti yang lebih banyak daripada perahan buah-buah sawit yang mereka cipta," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Perkhidmatan Ujian Benih Sawit Suresawit di makmal DNA berteknologi tinggi Orion Biosains, di sini.

Tambah Zuraida, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah melabur hampir RM200 juta sejak tahun 2004 bagi membangunkan teknologi berkenaan.

Orion Biosains pula melabur RM120 juta sejak tahun 2013, menjadikan pelaburan keseluruhan RM320 juta bagi teknologi berkenaan.

Media Baharu