fb fb fb fb fb

Pengumuman PM dinantikan rakyat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR , 19 Julai - Pengumuman yang memfokuskan bagi meringankan bebanan rakyat bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu hadapan.

Perkara tersebut sememangnya ditunggu rakyat. Seorang pekerja swasta, Darren berkata, ini mungkin kejutan buat kakitangan kerajaan dan golongan B40 dan berharap kerajaan tidak melupakan golongan M40.

"Golongan M40 juga penting dan seperti saya sendiri, kami tidak menerima manfaat seperti BR1M, STR, atau sumbangan tunai yang lain.

"Jadi kalau benar ada ‘kejutan’ seperti yang disebut-sebut, harapnya ia benar-benar menyasarkan semua lapisan masyarakat, bukan hanya B40," katanya.

Sementara itu, Jururawat Oftalmologi, Didah Dulamit berpendapat bebanan rakyat perlu dikurangkan.


"Ramai pekerja baharu bergaji rendah dan sukar menampung kos sara hidup yang semakin tinggi. Dengan kenaikan SST, harga barang turut meningkat. Saya harap kerajaan dapat pertimbangkan pengurangan SST untuk meringankan beban rakyat," ujarnya.

Bagi Pekerja Produksi Filem, Thiagu berharap agar kerajaan dapat melaksanakan sesuatu yang membantu rakyat.


"Saya rasa kerajaan boleh buat sesuatu yang lebih membantu golongan yang masih sukar mendapat pekerjaan. Sekarang memang susah nak cari kerja.

"Saya sendiri pernah menganggur hampir lima bulan sebelum dapat kerja baru-baru ini. Jadi kalau ada inisiatif atau program yang boleh bantu golongan menganggur, itu memang sangat membantu," katanya.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN