fb fb fb fb fb

Minggu Perpaduan 2025: Pelbagai etnik dan budaya bawah satu bumbung

Foto BERNAMA

BATU KAWAN, 19 Julai - Pelbagai etnik dan budaya di bawah satu bumbung berhimpun pada Sambutan Minggu Perpaduan 2025, ia bukan sahaja menjadi platform perpaduan malah membuka ruang kepada etnik yang kurang dikenali ramai untuk saling mengenali tradisi yang kurang mendapat pendedahan.

Peserta dari pelbagai latar belakang menyifatkan penganjuran program seperti itu wajar diteruskan ke negeri lain agar semangat perpaduan terus kukuh dalam masyarakat.

Pengerusi Persatuan Anak Sabah Melaka (PASMA),Idris Singging Abdul Halim berkata, beliau berpeluang mengenali etnik dan budaya lain.

"Program seperti ini patut diadakan setiap tahun di seluruh negeri. Ia sangat baik, terutama untuk etnik-etnik seperti Murut, Rungus dan lain-lain kerana kami jarang berpeluang bergaul dengan kaum lain.

"Melalui program ini, kami dapat mengenali budaya, makanan dan tradisi seperti Banjar, Chetty, Baba Nyonya dan banyak lagi serta mereka juga dapat mengenali budaya kami. Terima kasih kepada kerajaan kerana menganjurkan program yang menyatukan rakyat berbilang kaum ini," katanya.

Bagi orang awam, Hanisah Mohd Sani pula menyifatkan program tersebut dapat menghimpunkan rakyat.

"Melalui program ini, kami dapat banyak pengetahuan baru tentang rumah-rumah tradisi yang sebelum ini kami tak tahu. Sekarang kami boleh lihat sendiri, secara langsung.

"Kalau program seperti ini diteruskan, memang sangat baik sebab bukan semua orang mampu ke Sarawak atau tempat lain untuk melihat rumah-rumah etnik ini.Tapi bila semuanya dihimpunkan di satu tempat, semua orang dapat belajar dan memahami dengan lebih mudah," ujarnya.

Pengerusi Persatuan Telugu Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Rama Raoo Perappa turut bersetuju jika program itu diteruskan.

"Program ini satu-satunya platform yang sangat baik untuk kita kongsikan budaya dan tradisi kepada semua. Ramai yang datang berminat nak cuba, contohnya pakaian tradisional seperti sari, mungkin sebelum ini tiada peluang, tapi di sini mereka boleh alami sendiri.

"Program seperti ini wajar diteruskan kerana ia menyatukan semua kaum di bawah satu payung muhibah, tempat kita berkongsi dan saling memahami antara satu sama lain," katanya.

Program tersebut, bukan sekadar menjadi pameran budaya, malah menjadi jambatan yang boleh menghubungkan rakyat berbilang kaum dan pastinya wajar diteruskan sebagai acara tahunan yang diraikan bersama.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN