KUALA KANGSAR, 19 Julai – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dijangka memperkenalkan beberapa varieti durian baharu kepada umum dalam tempoh dua tahun akan datang.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata ketika ini pihaknya sedang menjalankan penilaian terhadap beberapa hibrid baharu sebelum ia diperkenalkan secara rasmi ke pasaran.
“Dalam perancangan kami (pipeline), terdapat beberapa varieti hibrid yang sedang kami usahakan. Insya-Allah, dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi, kita akan dapat hasilkan varieti baharu.
“Setakat ini, terdapat tiga varieti yang sedang dinilai. Sebahagian ditempatkan di Jerangau, manakala selebihnya di sini (Kuala Kangsar). Kod atau nombor rasmi bagi varieti tersebut belum ditentukan lagi. Selepas dilancarkan, kita akan tetapkan kod atau nama yang sesuai,” katanya.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani menunjukkan isi durian pada sesi Media Tour di Taman Agroteknologi MARDI Kuala Kangsar / Foto Bernama
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan ke program Duriotourism di MARDI Kuala Kangsar, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan sebanyak 13,000 pokok durian hibrid MDUR 88, yang telah dijenamakan semula sebagai MARDI Super (MS88), telah ditanam di seluruh negara.
Menurutnya, penanaman varieti MS88 itu dipantau rapi oleh MARDI bagi memastikan keberhasilannya sebagai durian premium negara yang berpotensi tinggi untuk pasaran komersial tempatan dan antarabangsa.