KUALA LUMPUR, 19 Julai – Sebanyak 62 daripada 68 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sederhana setakat pukul 3 petang tadi.
Port Dickson, Negeri Sembilan merupakan satu-satunya kawasan yang mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat dengan catatan 117.
Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) yang dikendalikan Jabatan Alam Sekitar (JAS), lima kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap baik, melibatkan Wilayah Persekutuan Labuan, Sri Aman, Limbang dan Kapit di Sarawak serta Kimanis, Sabah.
Untuk makluman, bacaan IPU antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dianggap berbahaya.
Data IPU dikemas kini setiap jam berdasarkan pemantauan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.