fb fb fb fb fb

792 kompaun ke atas individu tidak pakai tali pinggang keledar

Foto hiasan/ BERNAMA

KUALA NERUS, 19 Julai - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 792 notis kompaun terhadap individu yang tidak memakai tali pinggang keledar bagi penumpang bas di seluruh negara setakat 10 Julai lalu.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy fadly Ramly berkata, ia melalui pemeriksaan dijalankan ke atas 5,023 kenderaan.

Daripada jumlah itu 3,788 bas ekspress, 1,593 bas persiaran dan kenderaan barangan 542. 

Ia melalui arahan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang bas ekspress dan persiaran yang bermula 1 Julai lalu.

"Sebanyak 142 notis telah dikeluarkan terhadap pemandu yang didapati tidak memakai tali pinggang keledar, melibatkan 27 pemandu bas ekspres, 13 pemandu bas persiaran dan 102 pemandu kenderaan barangan.

"Bagi penumpang pula, sejumlah 640 individu dikenakan tindakan atas kesalahan sama, terdiri daripada 545 penumpang bas ekspres, 85 penumpang bas persiaran dan 10 kelindan kenderaan barangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan lesen kepada 968 peserta pada Program MyLesen B2 peringkat negeri di sini.

Program turut dihadiri Pengarah JPJ Terengganu Zamri Samion serta Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Abdul Razak Muda.

Kesemua peserta terdiri daripada pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi dan pusat kemahiran serta belia yang layak di seluruh Terengganu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kuota tambahan 10,000 bagi program MyLesen B2 yang diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke minggu lalu akan memberi tumpuan kepada pelajar sekolah seluruh negara.

Keutamaan akan diberi kepada pelajar yang menyertai Kadet JPJ.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI