(Foto fail)
KUALA LUMPUR, 25 Jun- Bersempena ulang tahun ketiga Saluran Berita RTM hari ini, satu pengumuman penting akan dibuat pada 1 Julai.
Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman berkata ada sedikit hadiah akan diberi kepada penonton.
"Kita akan membawa berita yang sangat istimewa tapi saya tak nak cakap lebih-lebih. Penonton tunggu sahaja 1 Julai ini," katanya.
Mengenai Saluran Berita RTM yang sudah tiga tahun bersiaran beliau berkata walaupun terdapat pelbagai sumber berita tidak rasmi, masyarakat akan sentiasa kembali untuk menyemak kesahihan sesuatu berita.
"Dengan adanya pempengaruh, dengan adanya mereka yang kita kata wartawan awam (citizen journalist) contohnya, mereka melaporkan keadaan di mana-mana mereka berada.
"Tapi akhirnya orang ramai akan kembali juga kepada wartawan terlatih (trained journalist), mereka yang betul-betul mendapat pendidikan dan juga menghadiri pelbagai kursus menjadi wartawan mengikut etika kewartawanan dan sebagainya," tambah beliau.
(Suhaimi berkata pengumuman penting bersempena ulang tahun ke-3 Saluran Berita RTM)
Kini, Saluran Berita RTM memberi fokus kepada berita dan rancangan berkaitan berita yang bersiaran 24 jam sehari meliputi 8 bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Bajau, Dusun, Kadazan dan Iban, yang boleh ditonton menerusi myFreeview123 dalam bentuk HD.
Kami juga menawarkan 25 slot berita setiap hari, 12 bicarawara seminggu, lima hari berita perniagaan dan dua program majalah seminggu yang menyumbang pelbagai meklumat kepada masyarakat.
Dalam mencapai objektif memerangi berita palsu, Saluran Berita RTM turut menampilkan program 'Pastikan Sahih' yang menyalurkan maklumat tepat kepada orang ramai.
Terbaharu, KANTA 744 membawakan berita ringkas dan padat sebelum Berita Perdana 8.00 malam.
"Banyak berita palsu berlegar di media sosial, jadi saya lihat kita kena rancakkan lagi edaran bahan-bahan saluran BES (Bahagian Berita Ehwal Semasa) di media sosial contohnya di TikTok, Instagram, Whatsapp dan saya lihat ini cabaran untuk pastikan maklumat dapat tular sampai kepada rakyat," kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil)
Dengan pengenalan saluran berita, RTM melangkah setahap lagi ke hadapan dan secara keseluruhan dapat memberi sumbangan lebih besar terutama dalam menyampaikan maklumat sahih dan tepat kepada masyarakat.
Saluran Berita RTM, stesen televisyen terestrial kerajaan digital percuma pertama di Malaysia yang dipancarkan dalam definisi tinggi (HD).
"Kita memilih stesen televisyen di Indonesia sebagai model penubuhan saluran berita ini," kata bekas Ketua Pengarah Penyiaran, Abdul Muis Shefii,
"Berikutan itu, kita di RTM mencadangkan agar kita mewujudkan satu slot berita pada permulaannya iaitu slot dari jam 5.00 petang hingga 10.00 malam yang khusus untuk menyiarkan berita terkini dan juga maklumat-maklumat semasa," jelas beliau.
(Bekas Ketua Pengarah Penyiaran, Abdul Muis Shefii)