fb fb fb fb fb

Pengumuman Khas PM: Bukti Kerajaan MADANI peka denyut nadi rakyat

FOTO FB Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas pengumuman langkah terbaharu Kerajaan MADANI yang disifatkan sebagai tepat pada masanya dalam memberi kelegaan kepada rakyat serta merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, langkah tersebut membuktikan kepekaan kerajaan terhadap denyut nadi rakyat dan komitmen berterusan untuk meringankan beban kehidupan melalui pelbagai bentuk bantuan yang bersasar.

“Pada masa sama, kerajaan terus berusaha menyeimbangi keperluan meningkatkan kedudukan kewangan negara dengan tanggungjawab menjaga kesejahteraan rakyat,” katanya melalui hantaran di media sosial hari ini.

Tambah beliau, segala pendekatan yang diambil adalah hasil pertimbangan teliti yang berlandaskan prinsip keadilan sosial dan kemampanan ekonomi, seiring dengan dasar Malaysia MADANI.

"Pendekatan yang diumumkan Perdana Menteri juga akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi, mengukuhkan daya tahan fiskal negara serta membantu Malaysia berdepan ketidaktentuan ekonomi global," Jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus menyemarakkan semangat cintakan tanah air menjelang sambutan kemerdekaan hujung bulan depan.

“Inilah masanya untuk kita bersatu hati dan jiwa, menghargai nikmat kemerdekaan, dan bersama-sama menyumbang kepada kemakmuran negara,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan akan terus memperkukuh agenda pembangunan negara melalui pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta Belanjawan Malaysia MADANI yang sedang digarap demi manfaat rakyat secara menyeluruh.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE