KUALA LUMPUR, 23 Julai - Sebanyak RM600 juta diperuntukan dibawah program Jualan Rahmah MADANI, tahun ini.
Peruntukan itu meningkat sekali ganda berbanding tahun lepas sebanyak RM300 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, peruntukan tersebut bertujuan bagi memastikan kekerapan dan memperluas jumlah lokasi di seluruh negara.
"Sebanyak 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara akan mendapat peluang menganjurkan Jualan Rahmah yang akan dilaksanakan di setiap DUN sebelum akhir tahun ini," katanya dalam pengumuman khas yang disiarkan hari ini.
Inisiatif Jualan Rahmah MADANI terbukti sebagai antara langkah intervensi berkesan dalam usaha kerajaan meringankan kos sara hidup rakyat khususnya di peringkat akar umbi, sekali gus terus mendapat sambutan rakyat susulan perluasan program berkenaan di seluruh negara termasuk di kawasan pinggir bandar.
Jualan Rahmah MADANI menawarkan pelbagai barangan asas seperti beras, minyak masak, sayur-sayuran, dan produk keperluan lain pada harga yang jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.
Usaha itu dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan dalam memastikan setiap lapisan masyarakat dapat memperoleh barangan keperluan dengan harga yang berpatutan, tanpa membebankan rakyat.