PERMATANG PAUH, 19 Julai - "Menyeluruh dan inklusif", itu antara harapan yang disuarakan golongan pelajar berhubung pengumuman besar yang bakal dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu depan.
Beberapa pelajar tingkatan enam yang ditemui RTM meletakkan harapan tinggi agar pengumuman tersebut turut mengambil kira isu kewangan yang dihadapi mereka.
"Dalam konteks pendidikan tingkatan enam, saya berharap pengumuman akan datang ini bukan sahaja untuk penjawat awam dan swasta, tetapi saya berharap agar pihak kementerian ataupun pihak jabatan Perdana Menteri akan turut menitikberatkan sektor pendidikan dengan menyediakan peruntukan yang lebih banyak untuk membangunkan prasarana dan infrastruktur bagi fasiliti tingkatan enam." kata Muhammad Irfan Nazri.
"Diharapkan berita baik untuk pelajar dan saya sebagai pelajar mengharapkan inisiatif yang dapat diberikan oleh Perdana Menteri ialah bantuan daripada segi kewangan bagi membolehkan kami melanjutkan pelajaran. Saya juga mengharapkan kerajaan dapat memperkasakan pendidikan tingkatan enam agar masyarakat dapat melihat betapa bagusnya tingkatan enam ini." menurut Nurul Hafidah Mohamad Rafi.
"Sebagai remaja, saya mengharapkan inisiatif atau insentif diberikan kepada remaja, sebagai contoh pemberian bantuan kepada pelajar dari segi kewangan dan juga motivasi, serta pekerjaan yang berkualiti pada masa hadapan yang memberi manfaat dalam jangka panjang, selari dengan matlamat Malaysia MADANI." Ujar Muhammad Aiman Syafiq Muhamad Saad.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman besar yang bakal dibuat pada Isnin atau Selasa depan memfokuskan kepada isu kos sara hidup rakyat.