KEMAMAN, 19 Julai – Seorang lelaki maut selepas motosikalnya terbabit dalam satu kemalangan, di kilometer 293.3, Lebuhraya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2) berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Kijal, di sini.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 7.40 malam tadi, mangsa Mohd Amir Asyraff Mohd Yusoff, 32 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Razi Rosli mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Mangsa seorang juruteknik sebuah syarikat petroleum dipercayai sedang berkonvoi motosikal dari Bandar Kerteh ke Bandar Kuantan untuk makan malam bersama dua puluh buah motosikal lain.
Sejurus tiba di lokasi, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan selepas memotong sebuah motosikal lain di laluan bertentangan lalu melanggar besi penghadang jalan.
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.