fb fb fb fb fb

Balai Seni Negara kukuh jalinan budaya serantau

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Balai Seni Negara memperkukuh jalinan budaya serantau menerusi penganjuran Pameran Kepulauan: Refleksi BIMP-EAGA melalui Seni Kontemporari yang mempamerkan hasil karya seni dari empat negara ASEAN Timur iaitu Malaysia, Brunei, Indonesia dan Filipina.

Bertempat di Galeri 3A, Balai Seni Negara, pameran itu berlangsung bermula semalam hingga 31 Mei 2026, mempamerkan 12 karya seni dalam pelbagai medium termasuk instalasi, catan, media campuran, fotografi, audio dan videografi.

Pameran tersebut merupakan inisiatif di bawah agenda Diplomasi Budaya MOTAC dan selaras dengan visi BIMP-EAGA 2025 yang menekankan prinsip R.I.S.E – berdaya tahan, inklusif, mampan dan berdaya saing.

Antara seniman yang terlibat termasuk Muslim Mattajim (Malaysia), Umi Zaty Bazillah (Brunei), Muchamad Riduwan (Indonesia) dan Leonard Ansiong (Filipina).

Menurut wakil Malaysia, Muslim Mattajim, karya bertajuk Ekonomi Dalam Budaya mengetengahkan kehidupan maritim masyarakat tempatan.


"Ekonomi dalam budaya merujuk kepada kegiatan ekonomi yang dijana hasil daripada cara hidup seharian masyarakat. Sebagai contoh, mereka menggunakan sampan untuk ke laut bagi menangkap ikan serta menjalankan pelbagai aktiviti lain seperti mendapatkan keperluan harian.

"Semua ini mencerminkan bagaimana budaya dan rutin harian mereka turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat," kataya.

Sementara itu, wakil Brunei, Umi Zaty Bazillah mengetengahkan konsep seni boleh akses untuk semua melalui karya menggunakan tulisan Braille.

"Aksara bermaksud karakter atau huruf seperti abjad dalam pelbagai bahasa sama ada Jawi, Rusia, Mandarin atau Jepun.

"Untuk karya seni saya, saya memilih untuk menumpukan kepada aksara Braille iaitu sistem tulisan yang digunakan oleh golongan orang kurang penglihatan," jelasnya.

Wakil Indonesia, Muchamad Riduwan pula memberi tumpuan terhadap elemen semula jadi yang kian terancam.

“Sebagai negara kepulauan, kami cuba meneroka kembali unsur-unsur semula jadi yang berisiko pupus atau hilang. Inilah yang menjadi inspirasi utama dalam pembentukan landskap karya kami,” katanya.

Manakala wakil Filipina, Leonard Ansiong, turut mengangkat tema serupa, dengan fokus kepada masyarakat orang asli dan sangat berbangga diberi peluang membawa hasil seninya ke Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Malaysia, khususnya Balai Seni Negara kerana menjemput kami, Pasukan Filipina. Bagi pihak Pasukan Filipina, saya ingin menyatakan bahawa kami sangat berterima kasih kerana dijemput dan menjadi sebahagian daripada aktiviti ini," ujarnya.

Pameran itu turut mendapat sentuhan kurator dari keempat-empat negara, sekali gus memperlihatkan pendekatan kuratorial rentas sempadan yang lebih segar dan inklusif.

Masuk adalah percuma dan orang ramai dijemput hadir untuk menghayati pelbagai ekspresi seni dari rantau BIMP-EAGA yang mencerminkan kepelbagaian,keunikan dan persamaan budaya serantau ASEAN Timur.

Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi Balai Seni Negara di www.artgallery.gov.my atau ikuti saluran media sosial rasmi mereka

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN