BUKIT BARU, 19 Julai -Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengetengahkan pendekatan berasaskan kitar semula ke Kampung Bukit Pulau, Melaka menerusi Program Santuni MADANI.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata, pendekatan itu bertujuan menggalakkan penduduk kampung menghargai alam sekitar melalui amalan kitar semula yang tersusun dan berimpak.
Antara inisiatif yang dilaksana termasuk pembinaan Rumah Kompos menggunakan kaedah Takakura, pembangunan taman 3R interaktif untuk kanak-kanak serta pemulihan kolam ikan lama sebagai pusat pendidikan komuniti.
"Dan antara lain lagi, kami membina arca terdiri daripada barang barang kitar semula dan kami juga membina padang permainan daripada berasaskan barang kitar semula, ini semua menunjukkan keprihatinan kerajaan supaya setiap rakyat mendapat kebahagiaan mendapat pembangunan,"katanya kepada pemberita pada program Santuni MADANI di Kampung Bukit Pulau, Melaka.
Inisiatif turut disokong Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi geran UniMADANI dan bimbingan teknikal dalam penghasilan produk kitar semula.