Pengukuhan modul pendidikan, tingkat kesedaran pemanduan

Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan

KUALA LUMPUR, 8 April – Modul pendidikan pemandu sedia ada perlu diperkukuh dan ditambah baik bagi memastikan penerapan budaya pemanduan berhemah dapat dilaksanakan secara menyeluruh, khususnya di peringkat akar umbi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penambahbaikan modul dilaksana semasa sesi pembelajaran dan latihan di institusi memandu untuk meningkatkan kesedaran serta pemahaman keselamatan jalan raya.
  • JPJ akan menilai semula modul sedia ada dan kementerian mungkin meneliti isu ini dengan lebih terperinci.
  • JPJ menyambut baik pendakwaan bawah Seksyen 302 terhadap pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah sebagai mesej tegas kerajaan.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, penambahbaikan itu boleh dilaksanakan ketika sesi pembelajaran dan latihan di institusi memandu.

Ia sekali gus meningkatkan kesedaran serta pemahaman bakal pemandu terhadap aspek keselamatan jalan raya sebelum memperoleh lesen memandu.

“Kita akan menilai semula modul sedia ada. Berkemungkinan, kita akan memperbanyakkan elemen berkaitan konsep pemanduan dalam sesi pembelajaran dan latihan di institut memandu.

“Di pihak JPJ, kami akan meneliti perkara ini semula, dan kemungkinan Kementerian Pengangkutan juga akan menilai isu ini dengan lebih terperinci,” katanya selepas menjadi tetamu Program Bicara Naratif di Angkasapuri, Kota Media.

Selain itu aspek kesedaran individu wajar diberi perhatian serius bagi memastikan setiap pengguna jalan raya lebih bertanggungjawab, sekali gus mengelakkan kejadian sama daripada terus berulang pada masa hadapan.

“Paling penting ialah kesedaran dalam diri setiap individu. Sekiranya mereka menjadi pemandu berhemah, mereka mampu mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya lagi.

Selain itu, JPJ juga turut menyambut baik sekiranya hukuman mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) dikenakan terhadap pemandu mabuk serta bawah pengaruh dadah.

“Pihak peguam negara telah mengambil tindakan untuk mendakwa pelaku-pelaku ini bawah Seksyen 302. Bagi kami agensi penguat kuasa, kami menyambut baik perkara ini.

“Ia memberi satu mesej yang sangat jelas bahawa kerajaan memandang serius berkaitan kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk dan bawah pengaruh dadah,” katanya.