fb fb fb fb fb

Penguatkuasaan gaji minimum perlu lebih tegas - MTUC

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 19 Oktober - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik langkah Kerajaan menaikkan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 bermula Februari 2025.

Presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani berharap pengumuman dalam Belanjawan 2025 berkenaan, disusuli dengan penguatkuasaan yang tegas.

"Kami berharap Kerajaan akan terus memastikan pelaksanaan ini berjalan dengan lancar serta disokong dengan penguatkuasaan yang lebih tegas agar tiada pekerja yang terlepas daripada mendapat manfaat ini.

"Pada masa yang sama, kami menggesa pihak majikan untuk melaksanakan kenaikan ini dengan penuh tanggungjawab, dan menghargai sumbangan pekerja yang menjadi tulang belakang operasi syarikat," beliau bercakap kepada pemberita RTM.

Tambah Mohd Effendy, kenaikan gaji minimum bukan sahaja akan meningkatkan taraf hidup pekerja, tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan kuasa beli rakyat.

"Kami yakin bahawa kenaikan ini akan memberi manfaat kepada ekonomi negara secara keseluruhan kerana pekerja yang lebih sejahtera akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan penggunaan domestik yang lebih kukuh. Terima kasih kepada Kerajaan dan semua pihak yang berusaha memastikan kesejahteraan pekerja terus diperjuangkan," kata beliau.

Trainee