fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: Menyeluruh, inklusif kemudi ekonomi negara ke tahap lebih baik

Foto facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 19 Oktober- Ramai ahli akademik berpandangan Belanjawan 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam bersifat inklusif, menyeluruh dan memfokus kepada kesejahteraan rakyat secara keseluruhan dengan strategi mengemudi ekonomi negara ke tahap lebih baik.

Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata belanjawan itu membuktikan komitmen kerajaan terhadap pembangunan negara yang mampan dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian isu struktural yang lebih besar termasuk ketidaksamaan sosial dan ekonomi.

Beliau berkata belanjawan itu juga memfokus kepada keseriusan serta komitmen kerajaan merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung dan Malaysia Timur, apabila Sabah dan Sarawak menerima peruntukan antara yang tertinggi pada belanjawan itu, iaitu masing-masing RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion.

"Peruntukan besar kepada Sabah dan Sarawak boleh dilihat sebagai respons kerajaan kepada ketidakseimbangan antara wilayah dan pemberian dana lebih besar kali ini diharap dapat membawa lebih banyak perubahan untuk manfaat rakyat menerusi pelbagai projek infrastruktur.

"Ini juga menjadi bukti keikhlasan Kerajaan Perpaduan untuk menyantuni seluruh negeri di Malaysia, yang juga jelas dilihat dalam pelbagai pengumuman kepada negeri ditadbir pembangkang, untuk pembangunan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat," katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu Awang Azman berharap pemantauan teliti dan berkala terhadap pelaksanaan semua projek yang diumumkan itu dibuat di segenap peringkat supaya tiada ketirisan dan tidak berlaku projek terbengkalai atau lewat siap bagi memastikan setiap dana yang dibelanjakan sampai ke peringkat akar umbi.

Beliau berkata belanjawan itu juga mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan yang bersifat menyeluruh yang memfokus kepada reformasi ekonomi, peralihan tenaga, pengangkutan awam dan pembangunan perindustrian.

"Ini menunjukkan kerajaan berusaha meletakkan asas jangka panjang untuk masa depan ekonomi negara yang lebih stabil dan inklusif termasuk dalam pembangunan bidang kritikal masa kini seperti kecerdasan buatan (AI) kepada universiti tempatan dan aspek digitalisasi supaya tidak ketinggalan dalam perubahan terkini," katanya.

Mengulas cadangan penyasaran subsidi petrol RON95, Awang Azman berkata tindakan itu walaupun menimbulkan keresahan kepada segelintir rakyat, namun pada jangka panjang dapat membantu mengurangkan defisit belanjawan negara tanpa mengenepikan golongan yang masih layak menikmati subsidi.

Beliau berkata tempoh pelaksanaan cadangan itu pada pertengahan tahun depan, dapat memberi masa kepada kerajaan meneliti kaedah serta penilaian yang wajar dilakukan, yang boleh ditambah baik daripada pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang telah dilaksanakan di Semenanjung Malaysia tahun ini.

Sementara itu penganalisis politik Datuk Prof Dr Nasrudin Mohammed berkata Belanjawan 2025 meneruskan tradisi kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab besar untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat melalui kebijakan dasar-dasar awam, yang jelas tercermin daripada pembentangan semalam.

Beliau berkata iltizam kerajaan itu diangkat Perdana Menteri demi kerancakan ekonomi, penguasaan inovasi dan pengagihan kekayaan lebih adil dan saksama yang berupaya menangani peningkatan kos sara hidup rakyat.

“Masa depan yang hijau, didukung digital dan berdaya tahan sebagaimana diidam-idamkan kerajaan, menuntut elemen keterangkuman secara holistik antara semua komponen kerajaan dengan rakyat serta industri khususnya. Ini disentuh misalnya melalui cadangan-cadangan penyasaran subsidi serta pengekalan subsidi.

“Begitu juga dengan pengenaan Cukai Jualan yang dilaksanakan secara selektif termasuk perluasan skop Cukai Perkhidmatan yang antara lainnya bertujuan untuk menjana hasil yang dimanfaatkan untuk pembangunan negara,” katanya.

Selain itu, Nasrudin berkata inisiatif tambahan melibatkan sektor pertanian khususnya pekebun kecil, nelayan serta usahawan, ekonomi melibatkan Bumiputera serta bantuan kebajikan kepada individu dan isi rumah dipertingkat secara realistik dengan pelbagai geran dan peruntukan tidak kurang RM1 bilion bagi memastikan keterjaminan keperluan asas demi kesejahteraan rakyat.

Pada masa sama beliau berkata integrasi politik khususnya melibatkan tatakelola wilayah Sarawak dan Sabah, juga terus mendominasi sentimen belanjawan negara kali ini.

“Hal ini disimpul dengan jelas, ringkas dan mudah apabila Perdana Menteri mengulang pendirian untuk terus akur dengan pendirian melangsungkan kesinambungan iltizam kerajaan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Pembangunan prasarana asas menjadi sandaran Belanjawan 2025 dalam konteks integrasi politik ini di Borneo terutamanya melibatkan projek besar seperti Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mustazar Mansur pula menyifatkan belanjawan itu mencakupi pelbagai lapisan masyarakat termasuk wanita dan kanak-kanak berkeperluan khas, selain turut memberi kelegaan kepada golongan miskin bandar.

"Walaupun tidak menyebut secara langsung bantuan kepada golongan itu, namun pengumuman seperti kemudahan van untuk anak ke sekolah dan penambahbaikan pengangkutan awam di Lembah Klang yang merupakan permulaan baik untuk rakyat di bandar, yang boleh diperluaskan pada masa depan," katanya.

Mustazar berkata beliau pada awalnya menjangkakan pengenalan Cukai Makanan Tidak Sihat atau Fat Tax diperkenalkan kali ini, namun berpandangan cadangan kadar duti eksais minuman bergula yang diumumkan semalam, juga dapat menunjukkan komitmen kerajaan menekankan aspek kesihatan rakyat.

Mengulas mengenai pelaksanaan gaji minimum RM1,700 tahun depan, Mustazar berpandangan jumlah itu walaupun dinanti-nantikan ramai dan dapat meningkatkan kehidupan rakyat, namun ia masih memerlukan penelitian dan alternatif daripada kerajaan kerana ia mungkin mendatangkan sedikit kesukaran kepada pemilik perniagaan kecil dan sederhana terutamanya di luar bandar.

Beliau juga berpandangan cadangan penyasaran subsidi pendidikan perlu diperhalusi sebaik-baiknya supaya pelaksanaannya tidak menekan golongan seperti mereka yang di atas kertas mempunyai angka pendapatan yang baik, namun turut terkesan dengan kos sara hidup di bandar atau mempunyai tanggungan yang besar.

“Jika dilakukan penyasaran subsidi pendidikan, perlu difikirkan alternatif kepada anak-anak terlibat, contohnya dipermudahkan pinjaman atau ada kerjasama dengan pihak swasta supaya peluang mereka untuk mendapat pendidikan masih terbuka tanpa menidakkan kumpulan yang sepatutnya menikmati subsidi,” katanya.

Menyentuh pertambahan peruntukan bantuan tunai termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diharapkan dapat memastikan tiada rakyat Malaysia berpendapatan kurang daripada RM1,100 juga amat membantu meringankan beban kos hidup golongan kurang berkemampuan.

Sementara itu Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Datuk Mohammad Sahar Mat Din semasa menjadi tetamu dalam rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV berpandangan bantuan-bantuan yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 dapat menyelesaikan isu miskin tegar dalam negara.

“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) jumlah keluarga miskin tegar ialah 112,000 dan untuk mengeluarkan mereka daripada paras itu, mereka perlu menjana pendapatan RM1,126 sebulan dan ini adalah kadar yang ditetapkan.

“Saya pernah buat kira-kira, kerajaan hanya perlukan RM1.6 bilion sahaja untuk pastikan setiap keluarga dapat RM1,126 sebulan (selama setahun). Perdana Menteri juga dah sebut tadi segala bantuan yang disusun setiap keluarga akan dapat minimum RM1,100. Bermakna formula tadi dapat dipakai untuk menyelesaikan masalah itu” katanya.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN