fb fb fb fb fb

Harap peruntukan terus memartabatkan pendidikan negara - Fadhlina

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hanya ketinggian ilmu yang dapat mengeluarkan rakyat dari kepompong kedaifan hidup melarat. 

KUALA LUMPUR, 19 Oktober - Kementerian Pendidikan menyifatkan pengumuman Belanjawan 2025 untuk sektor pendidikan sebagai menyeluruh selain memenuhi keperluan semua pihak dalam memastikan tiada pelajar yang terpinggir dalam menerima bantuan dan kemudahan di sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata peruntukan itu sekali gus mewujudkan peluang lebih meluas bagi menambah baik struktur pendidikan negara.

"Kerajaan meneruskan komitmen untuk membaiki sekolah-sekolah daif dan kemudian pengumuman berkaitan 11 pusat Permata yang akan diberi tumpuan  kanak-kanak autisme, dan dua sekolah yang akan ditubuhkan di Johor dan Sabah.

“Pertama, dari segi komitmen pendidikan yang mesti diterajui dengan lebih cekap. Secara keseluruhannya, saya sifatkan belanjawan ini sebagai memenuhi keperluan semua, terutama anak-anak kita.

"Diharapkan komitmen tersebut berjalan seiring dengan peningkatan kualiti pendidikan. Kami berharap komitmen besar daripada kerajaan ini dapat terus memartabatkan pendidikan di negara kita," katanya kepada media selepas merasmikan Karnival Lestari Intervensi Awal 2024 (KLIA'2024) hari ini.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM64.1 bilion berbanding RM58.7 bilion pada tahun lalu dalam Belanjawan 2025.

Peruntukan itu merupakan yang tertinggi dalam sejarah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hanya ketinggian ilmu yang dapat mengeluarkan rakyat dari kepompong kedaifan hidup melarat. 

Melalui pengumuman itu sebanyak RM2 bilion diperuntukkan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, RM1 bilion dikhususkan untuk menyelenggara sekolah yang uzur termasuk sekolah kebangsaan, Cina, Tamil, agama, dalam kem tentera, dan sekolah pendidikan khas OKU.

Sementara itu, RM1 bilion lagi diperuntukkan untuk menaik taraf prasarana daif di 543 sekolah, terutama di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, 44 sekolah baharu akan mula dibina tahun hadapan.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN