fb fb fb fb fb

Pengorbanan ibu menabung, rezeki tiga beradik tunai haji di usia muda

Foto RTM

KUALA NERUS, 20 Mei- Pengorbanan seorang ibu yang menabung untuk anak-anak sejak kecil berhasil, apabila tiga daripada empat anaknya menjadi Dhuyufurrahman secara serentak pada musim ini.

Hasrat dan perancangan ibu bapa mereka menyimpan wang selama lebih 16 tahun lalu tertunai kerana mahu ke semua anaknya menunaikan haji di usia muda.

Menurut anak sulung, Muhammad Nazirul Haqimi Zulkifli, jemputan menjadi tetamu Allah kali ini disifatkan sebagai rezeki adik beradik.

Dalam tempoh tersebut, tabungan hasil pendapatan ibu bapa mereka, yang berkerja sebagai guru dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji (TH) setiap bulan.

Ia bagi memastikan mereka empat beradik dapat menunaikan rukun Islam kelima itu secara serentak.

Bagaimanapun, adik bongsunya terpaksa menangguh tawaran haji musim ini kerana sedang mengikuti peperiksaan di IPT.

"Mak simpan rasanya lebih kurang RM100 atau RM200 seorang. Maknanya, pengorbanan mak ini, dari daftar sampai ke hari ni, sudah berapa hari dah. Rasa sangat bersyukur, mak simpan bukan untuk seorang tetapi untuk anak-anak mak, empat orang," kata Muhammad Nazirul kepada pemberita.

Muhammad Nazirul antara 142 jemaah dari Terengganu yang berlepas melalui Stesen Kuala Terengganu bagi sesi ke-7.

Majlis pelepasan jemaah haji musim 1445H/2024M Stesen Kuala Terengganu itu disempurnakan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM