fb fb fb fb fb

JIM Perak tahan 23 PATI

Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik

IPOH, 20 Mei - Jabatan Imigresen (JIM) menahan kira-kira 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi bersepadu di Rumah Pangsa Panorama Lapangan Perdana, di sini malam tadi.

Pengarah Imigresen Perak Meor Hezbullah Meor Abdul Malik memaklumkan, kesemua yang ditahan merupakan 15 lelaki, lima perempuan dan tiga kanak-kanak. 

Mereka terdiri warga Indonesia dan Myanmar berusia antara 2 hingga 50 tahun.

"Mereka yang ditahan ini seramai 23 orang ini mereka dipercayai dengan sebab yang munasabah telah melakukan kesalahan bawah akta imigresen iaitu dua orang telah tinggal lebih masa mengikut seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen. Manakala 20 orang adalah bawah seksyen 6(1)(c) iaitu tidak mempunyai dokumen yang sah untuk berada dalam negara," kata Meor Hezbullah kepada pemberita selepas operasi, di sini.

Beliau berkata kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Ipoh untuk tindakan lanjut. 

Secara keseluruhan sebanyak 53 unit rumah diperiksa dalam operasi tersebut.

Operasi yang bermula pada pukul 11.50 malam itu melibatkan 184 pegawai dan anggota JIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA). 

Dalam operasi tersebut, AADK dan PDRM turut menahan 14 penagih dadah termasuk tiga wanita berusia antara 20 hingga 60 tahun.

Mereka ditahan bawah Seksyen 6 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 31 Akta Penagihan Dadah 1983.

TETITIA YUSOFF